Friday, September 10, 2010

Satay dan Kegembiraan Hari Raya

Salam Aidilfitri diucapkan kepada Muslimin dan Muslimat seluruh dunia... Sebulan kita menahan lapar dan dahaga di bulan puasa, akhirnya ganjaran kejayaan yang dijanjikan Allah tiba di bulan Syawal. Tahniah kepada yang berjaya mengharungi 30 hari tanpa makan, minum, membantai, mengintai, mengumpat, memasang telinga ketika orang lain mengumpat, memasang radio kuat-kuat dan juga hilang sabar ketika beratur membeli juadah berbuka di bazar Ramadhan. Banyak pahala yang anda kumpul tahun ni...


Sudah senonim kuih raya dan hari raya. Tanpa hari raya, siapalah kuih raya... Dan tanpa kuih raya, siapalah hari raya... Oh ya... duit raya jangan dilupa.


Kek dan hari raya? Bunyinya macam tidak kena, tetapi terima sajalah kenyataan bahawa hari raya bukan lagi tentang kuih raya, lemang atau ketupat... Pasta pun orang dah hidang di hari raya (kredit kepada ibu saudara)...


Post terdahulu ada menyatakan bahawa keluarga ini menghidangkan satay untuk juadah hari rayanya... Jadi signifikan foto serai ini adalah untuk menyatakan kepentingannya dalam melancarkan proses membakar satay...


Si abang sulung sentiasa komited dalam menjalankan apa-apa tugas yang diberi termasuklah ketika membakar satay. Buktinya kebanyakan satay yang dibakar mencapai standard yang diluluskan oleh ahli keluarga dan 10 tetamu terawal.


Munadhia juga tidak mahu melepaskan peluang terbabit dalam proses pembakaran satay. Hasilnya beberapa cucuk satay yang dibakar telah masuk ke perutnya sendiri. Dan juga beberapa perut yang datang bertandang, termasuk perut penulis.... Kredit untuk beliau.


Bara api yang sesuai merupakan salah satu rahsia dalam menghasilkan satay yang berkualiti. Tanpa pengawalan suhu yang sesuai, satay akan menjadi terlalu hangit atau terlalu mentah. Suhu yang dicadangkan ialah melebih 100 darjah Celcius. Tiada cadangan untuk suhu maksima...



Hasil daripada pengawalan api yang baik itu, satay yang dibakar akan kelihatan enak dan lazat. Sekiranya tidak nampak enak, mungkin anda sedang kekenyangan...


Selepas siap dibakar, satay tersebut bolehlah diletakkan di dalam bekas yang sesuai.


Dan satay dapat dihidangkan kepada ahli keluarga dan 10 tetamu terawal bersama-sama dengan kuah kacang dan nasi himpit.


Kata orang, keluarga yang bahagia datang daripada makanan yang elok... Selamat menjamu selera...

Hari raya adalah waktu untuk saling bermaaf-maafan dan bergembira. Berikut pula adalah wajah-wajah gembira di hari raya.

Memperkenalkan EOS 40D, model yang tidak lagi dikeluarkan oleh Canon bersama-sama aksesori gah, flash Speedlite 580EX II. Kelihatan kamera DSLR itu lebih menyerlah berbanding si pemegangnya. Tetapi memadailah sekiranya beliau gembira...


Dapat kasut raya juga boleh membuatkan hati seseorang gembira. Lebih-lebih lagi kalau dapat kasut brand tersohor, adidas. Kalau survey harga di kedai, kasut bayi lebih mahal berbanding kasut orang dewasa...


Inilah wajah tuan punya kasut tersebut... Mungkin kelihatan bersahaja, tetapi di dalam lubuk hatinya pasti berasa sangat gembira dengan pemberian ibu dan ayahnya itu.
"Terima kasih ibu", mungkin itu yang ingin diungkapkannya...


Hati kita juga akan gembira apabila terdapat orang lain menyayangi kita dengan tulus dan ikhlas. Bersyukurlah pada Allah yang memberikan anugerah yang tidak terhingga ini kerana bukan semua orang bertuah mendapat kebahagiaan seperti ini.


Akhir kata di hari raya pertama ini... Selamat menyambut Aidilfitri!

Foto: fakharijamil studio & co.

0 comments:

Post a Comment

Photos by fakharijamil studio. Powered by Blogger.