Thursday, September 9, 2010

Selamat tinggal Ramadhan (bukan nama orang)


Ramadhan telah pun meninggalkan kita. Sepanjang 30 hari melakukan ibadat puasa, apakah cukup amalan yang kita lakukan sepanjang waktu itu. Adakah cukup sekadar kita menahan lapar dan dahaga? Bagaimana pula dengan pertuturan, mata yang memandang dan telinga yang mendengar, apakah mereka juga berpuasa? Cuba kita kenang kembali bagaimana kita menyambut bulan yang penuh dengan kemuliaan itu...


Waktu bersahur... basuh muka dan berkumur di sinki. Maklumlah bangun awal pagi mata macam nampak tak nampak sahaja.. Bersihkan mata agar waras sewaktu makan sahur. Takut sewaktu makan nasi terlupa nak telan pula...
p/s: kita mempunyai subconscious mind, jadi terlupa nak telan makanan mungkin tak berlaku... Allahualam


Waktu pagi memang santai (lebih-lebih lagi kalau jenis bangun lewat) kerana belum merasa kepenatan berpuasa. Tapi bila sahaja matahari berada tegak di atas kepala, rasa dahaga di tekak ini hanya Allah sahaja yang tahu...


Bila dah sampai waktu petang, apa lagi, badan pun mula lesu. Jadi adalah kebiasaan sekiranya kita menghabiskan waktu petang dengan berbaring sambil membuai mimpi.


Bila tersedar dari tidur, jam sudah menunjukkan hampir pukul 7.00pm. Legalah perasaan di hati ini kerana waktu berbuka sudah hampir waktunya. Benarlah kata Rasulallah, salah satu kegembiraan di bulan puasa ialah ketika berbuka puasa... Nikmatnya~

Tetapi ketika berpuasa di bulan yang mulia ini, tidur bukanlah satu idea yang patut dijadikan amalan. Melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh adalah disarankan kerana selain dapat menyihatkan badan, menurunkan tekanan darah serta membakar lemak di perut, ianya juga dapat menguji sejauh mana keupayaan kita menahan dugaan berpuasa. Maklumlah, katanya nak melatih diri merasa seperti orang-orang di Afrika yang kelaparan, tetapi jelas sekali tidur bukanlah caranya.

Keadaan garaj yang belum siap dibina. Tinggal kerja-kerja pemasangan atap, ikat bata, plaster dan juga mengecat. Tiada motif berkaitan puasa di dalam gambar ini.


Kerja-kerja membaiki pintu boleh dijadikan contoh aktiviti di bulan puasa. Lebih-lebih lagi sekiranya dilakukan oleh bapa dan anak. Secara tidak langsung dapat merapatkan silaturahim....


Sekiranya mengupah orang memasang pintu, mungkin sudah menelan belanja berpuluh ringgit. Mujurlah keluarga ini mengamalkan sifat DIY (do it yourself), atau mungkin hanya dipraktikkan oleh si bapa...


Sekiranya kerja-kerja berat terlalu memenatkan, mungkin boleh beralih kepada fotografi seperti yang dilakukan oleh Munadhia di waktu lapangnya.

Bulan Ramadhan juga sepatutnya menjadi bulan kemaafan, tidak perlu menunggu hari raya untuk berbuat demikian. Sifat-sifat mulia lain turut harus ditanam, dan cuba elakkan perasaan negatif di dalam diri kerana mungkin akan menyebabkan puasa kita sekadar lapar dan dahaga.

Tidak perlu malu untuk memohon maaf kepada seseorang yang telah kita lukakan, zahir dan juga batin. Hanya gerakkan bibir, ungkapkan kata-kata manis, kemudian hulurkan tangan sekiranya dibenarkan syarak berbuat demikian.


Sekiranya berada jauh dari keluarga, apa kata luangkan sedikit waktu untuk bertanya khabar melalui telefon. Sekiranya kredit tidak mencukupi, cukuplah dengan hanya berbalas SMS. Kalau kredit tidak ada langsung, bolehlah simpan telefon di dalam poket seluar dan jangan cuba membazirkan bateri dengan bermain game.


Juga jauhilah daripada sifat memulau atau menyisihkan seseorang hanya kerana status dan fizikalnya. Mungkin kita tidak dapat melihat secara zahir kesannya kepada mangsa, tetapi percayalah, batinnya amat terseksa. Kita manusia adalah sama, yang bezanya adalah terletak pada ketakwaannya. Oleh itu, siapa kita untuk mengadili orang lain...

Bulan Syawal adalah ganjaran yang diberikan kepada umat Islam kerana berjaya mengharungi bulan Ramadhan dengan penuh tawaduk. Tidak sah menyambut hari raya sekiranya tidak diserikan dengan juadah-juadah yang menyelerakan.


Persediaan bawang dan kacang bukan untuk dimakan mentah-mentah, tetapi untuk dijadikan kuah kacang satay. Mungkin di tempat lain satay tidak dianggap juadah raya, tetapi berlainan dengan kami. Satay boleh dikatakan dibuat setiap tahun di hari raya...


Inilah satay home-made... Jumlah yang dibuat tidak banyak, tetapi cukup untuk sekeluarga makan, dan sedikit untuk 10 tetamu terawal.


Syawal bertandang kembali, tetapi Ramadhan al-Mubarak akan dirindui... Segala silap dan salah yang dilakukan sepanjang hayat harap dimaafkan. Selamat hari raya...

Foto: fakharijamil studio, munadhia, ee
Model: Haziq dan Hafiy

1 comments:

munadhia said...

x bley blah~ ;p haha~

Post a Comment

Photos by fakharijamil studio. Powered by Blogger.